Pada suatu pagi, anak perempuan saya memberikan telefon bimbitnya kepada cucu lelaki saya yang berumur sebelas bulan sebagai alat mainannya untuk seketika. Tidak sampai seminit kemudian, telefon saya berbunyi. Ketika saya menjawab panggilan itu, saya mendengar suaranya yang kecil. Rupanya dia telah tertekan “dail pantas” bagi nombor telefon saya, dan selepas itu kita telah mengadakan satu perbualan yang saya tidak akan lupakan. Cucu saya cuma mampu berkata beberapa patah perkataan, tetapi dia mengenal suara saya lalu memberi respons. Saya pun berbual-bual dengan dia dan memberitahunya betapa saya menyayanginya.

Sukacita yang saya rasakan apabila mendengar suara cucu saya mengingatkan saya bahawa Tuhan juga sungguh rindu untuk memiliki hubungan dengan kita. Sejak permulaan, Alkitab menunjukkan bahawa Tuhan secara aktif mencari kita. Selepas Adam dan Hawa berdosa dengan tidak mentaati-Nya dan kemudian menyembunyikan diri daripada-Nya di taman Eden, “TUHAN Allah memanggil” Adam (Kejadian 3:9).

Tuhan terus mencari manusia melalui Yesus. Kerana Tuhan ingin membina hubungan dengan kita, maka Dia mengutus Yesus ke dunia untuk membayar upah dosa kita dengan kematian-Nya di atas kayu salib. “Dalam hal inilah kasih Allah dinyatakan di tengah-tengah kita, … Allah yang telah mengasihi kita dan yang telah mengutus Anak-Nya sebagai pendamaian bagi dosa-dosa kita” (1 Yohanes 4:9-10, ATB).

Betapa baiknya untuk mengetahui bahawa Tuhan mengasihi kita dan menginginkan kita memberi respons terhadap kasih-Nya melalui Yesus. Walaupun kita tidak tahu apa yang harus kita katakan, namun Bapa ingin mendengar kata-kata kita!