Pada tahun lepas, saya dan kawan-kawan mendoakan kesembuhan bagi tiga orang wanita yang sedang memerangi penyakit kanser. Kami tahu Tuhan memiliki kuasa untuk melakukan hal ini, dan setiap hari kami berdoa kepada-Nya. Kami telah melihat Tuhan bekerja pada masa yang lalu, dan percaya bahawa Dia akan melakukannya sekali lagi. Ada masanya setiap wanita tersebut seolah-olah mengalami kesembuhan, dan kami bersukacita. Akan tetapi mereka meninggal pada musim gugur tahun itu. Ada orang berkata bahawa itu adalah “kesembuhan yang terakhir,” kelihatannya memang begitu. Namun, kehilangan itu masih sangat menyakitkan. Kami mahu Tuhan menyembuhkan setiap mereka—sekarang juga—tetapi kami tidak memahami sebab mukjizat tidak berlaku.

Ada orang mengikut Yesus disebabkan oleh mukjizat yang dilakukan-Nya dan agar keperluan mereka dipenuhi (Yohanes 6:2, 26). Ada pula hanya menganggap Dia sebagai anak tukang kayu (Matius 13:55-58), dan yang lain pula mengharapkan Dia menjadi pemimpin politik mereka (Lukas 19:37-38). Ada juga orang yang menganggap Dia sebagai seorang guru yang hebat (Matius 7:28-29), sementara yang lain berhenti mengikut-Nya disebabkan oleh pengajaran-Nya yang sukar difahami (Yohanes 6:66).

Yesus masih tidak selalunya memenuhi keperluan kita. Tetapi Dia melebihi segala sesuatu yang kita boleh bayangkan. Dia ialah pemberi kehidupan kekal (ayat 47-48). Dia itu baik dan berhikmah; dan Dia mengasihi, mengampuni, sentiasa dekat dengan kita, dan memberikan kedamaian kepada kita. Semoga kita mendapatkan ketenangan dalam Yesus, dan marilah kita terus mengikut Dia.