Jemaah kami berkumpul di sebuah bangunan sekolah lama, yang telah ditutup pada tahun 1958 kerana tidak mengikut perintah mahkamah Amerika Syarikat (akta yang membenarkan pelajar Afrika-Amerika menghadiri sekolah yang hanya dihadiri oleh pelajar kulit putih sebelum itu). Pada tahun berikutnya, sekolah itu dibuka semula, dan Elva, yang kini ialah anggota gereja kami, merupakan salah seorang daripada pelajar-pelajar berkulit hitam yang masuk ke dalam dunia orang putih. “Saya diambil keluar daripada komuniti sejahtera yang terdiri daripada para guru yang memainkan peranan yang penting dalam hidup kami,” imbas Elva, “dan ditempatkan di dalam sebuah kelas dengan persekitaran yang menakutkan kerana hanya ada seorang budak berkulit hitam di situ.” Elva menderita kerana perbezaan status, tetapi dia menjadi seorang wanita yang penuh keberanian, iman, dan pengampunan.

Kesaksiannya begitu mendalam kerana dia menderita banyak penganiayaan akibat tindakan sesetengah orang dalam masyarakat itu. Mereka mengetepikan kebenaran bahawa setiap manusia, tanpa mengira bangsa atau keturunan, adalah dikasihi oleh Tuhan. Sesetengah orang pada zaman gereja awal juga menentang kebenaran ini, mereka mempercayai bahawa sesetengah orang dikasihi oleh Tuhan sejak lahir, sementara yang lain ditolak oleh-Nya. Bagaimanapun, setelah menerima penglihatan daripada Tuhan, Petrus telah membuat semua orang tergamam dengan wahyu yang mengejutkan ini: “Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya” (Kisah Para Rasul 10:34-35).

Tuhan membuka tangan seluas-luasnya untuk menyatakan kasih-Nya kepada semua orang. Semoga kita juga berbuat demikian dengan bersandar kepada kuasa-Nya.