“Jarabe Tapatío,” yang juga dikenali sebagai tarian topi orang Mexico adalah tarian untuk meraikan kisah cinta. Ketika rentaknya semakin rancak, penari lelaki akan meletakkan topi sombrero di atas tanah. Pada pengakhirannya, penari perempuan akan mengambil topi itu dan kedua-dua mereka akan bersembunyi di sebalik topi tersebut untuk memeterai percintaan mereka dengan ciuman.

Tarian ini mengingatkan saya bahawa betapa pentingnya kesetiaan dalam perkahwinan. Dalam Amsal 5, selepas bercakap tentang akibat kelakuan yang tidak bermoral, kita dapat membaca bahawa hal itu merangkumi perkahwinan. “Setialah kepada isterimu dan kasihilah dia sahaja” (ayat 15). Walaupun ada sepuluh pasangan yang menari tarian Jarabe di atas pentas, setiap orang hanya memfokuskan pasangannya. Kita boleh benar-benar berasa bahagia atas komitmen terhadap pasangan hidup kita yang dalam dan tidak terpisah ini (ayat 18).

Kisah cinta kita juga sedang diperhatikan. Ketika para penari bergembira dengan pasangan masing-masing, mereka tahu bahawa seseorang sedang memerhatikan mereka. Dengan cara yang sama, kita membaca, “TUHAN nampak segala perbuatanmu. Ke mana sahaja kamu pergi, kamu diawasi-Nya” (ayat 21). Tuhan ingin melindungi perkahwinan kita. Oleh itu, Dia sentiasa memerhatikan kita. Semoga kita menyenangkan hati-Nya melalui kesetiaan yang kita tunjukkan kepada pasangan hidup kita.

Seperti dalam tarian Jarabe, ada juga ritma yang harus diikut dalam hidup ini. Apabila kita menjaga rentak Pencipta kita dengan setia kepada-Nya—sama ada kita sudah berkahwin atau belum—kita akan menemukan berkat dan sukacita.