Di Kedai Basikal Peluang Kedua yang dekat dengan kawasan perumahan kami, para sukarelawan membaiki semula basikal terbuang dan mendermakannya kepada anak-anak yang miskin. Pengasas kedai tersebut, Ernie Clark, juga mendermakan basikal kepada orang dewasa yang kurang berada, termasuk mereka yang tiada tempat tinggal, orang kurang berupaya, dan para pesara tentera yang bergelut untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa. Bukan sahaja basikal-basikal tersebut mendapat peluang kedua, kadangkala penerima basikal itu juga berpeluang untuk satu permulaan baru. Seorang pesara tentera menggunakan basikal barunya untuk menghadiri temu duga.
Peluang kedua boleh mengubah hidup seseorang, terutama apabila peluang kedua itu datang daripada Tuhan. Nabi Mikha menyanjung rahmat itu sewaktu negara Israel terjejas dalam dosa rasuah, penipuan dan pelbagai dosa yang menjijikkan. Mikha mengeluh, “Kalangan salih telah hilang dari bumi, tidak ada lagi yang tulus antara manusia” (Mikha 7:2, AVB).
Mikha tahu memang wajar bagi Tuhan menghukum kejahatan. Namun kerana kasih-Nya, Tuhan memberi peluang kedua kepada sesiapa yang bertaubat. Kerana tersentuh oleh kasih sedemikian, maka Mikha berkata, “Ya TUHAN, tiada yang seperti Engkau. Engkau mengampunkan dosa umat-Mu yang masih hidup” (ayat 18).
Kita juga boleh bersukacita kerana Tuhan tidak meninggalkan kita kerana dosa-dosa kita, jika kita bertaubat. Seperti diisytiharkan Mikha, “Engkau akan mengasihani kami lagi. Engkau akan memijak-mijak dosa kami dan membuangnya ke dasar laut!” (ayat 19). Kasih Tuhan memberi peluang kedua kepada setiap orang yang mencari Dia.
ILHAM
Mikha, yang hidup sezaman dengan Yesaya dan Hosea, melayani kerajaan Israel dan Yehuda untuk lebih kurang 65 tahun (Mikha 1:1; Hosea 1:1). Kedua-dua kerajaan pada masa itu telah dilanda penyembahan berhala, rasuah, ketidakadilan, dan penindasan orang miskin (Mikha 7:2-3). Walaupun dia bernubuat tentang hukuman Tuhan dan memberikan amaran bahawa Israel akan dimusnahkan oleh orang Asyur (1:6), pembuangan (ayat 16), dan kebinasaan Yerusalem dan Rumah Tuhan (3:12), Mikha juga bercakap dengan jelas tentang belas kasihan dan berkat Tuhan sekiranya mereka bertaubat dan “berlaku adil ... mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah [mereka]” (6:8). Mikha juga meramalkan berkat ke atas kepulangan umat Israel dari pembuangan ke Yerusalem (2:12) dan kelahiran Mesias (5:2). Dengan itu, Mikha menyimpulkan dengan satu pengisytiharan, “Ya TUHAN, tiada yang seperti Engkau” (7:18), yang mengingatkan kita tentang Tuhan yang menyatakan Diri-nya dalam Keluaran 34:6-7. Yang menarik, nama Mikha bermakna “Siapakah seperti TUHAN.”Lawati christianuniversity.org/NT223 untuk mempelajari lebih tentang nabi Mikha (dalam bahasa Inggeris).