Disebabkan oleh pengaruh besar daripada ibu bapa yang kuat beriman, pelari balapan Jesse Owens hidup sebagai seorang yang beriman teguh kepada Tuhan. Semasa Sukan Olimpik yang diadakan di Berlin, Jerman pada tahun 1936, Owen tergolong daripada segelintir atlet berkulit hitam dalam pasukan Amerika Syarikat. Dia telah memenangi empat buah pingat emas walaupun diselubungi oleh suasana kebencian yang dimulakan oleh Nazi dan pemimpin mereka, Hitler. Dia juga berkawan dengan seorang atlet berbangsa Jerman, Luz Long. Di sebalik propaganda Nazi itu, Owen yang menjalani hidup sederhana yang beriman telah mempengaruhi Luz. Kemudian, Luz menulis surat kepada Owens, “Sewaktu pertama kali saya berbicara dengan anda di Berlin, saya telah melihat kamu berlutut, saya tahu anda sedang berdoa … saat itu rasa-rasanya saya mungkin akan mempercayai Tuhan.”
Owens memberikan teladan tentang cara orang percaya boleh menyahut seruan rasul Paulus untuk “membenci apa yang jahat” dan “mengasihi orang lain dengan ikhlas” (Roma 12:9). Walaupun Owens boleh memilih untuk memberi respons terhadap kejahatan di sekelilingnya dengan kebencian, dia memilih untuk hidup dalam iman dan menunjukkan kasih kepada seorang lelaki yang kemudian menjadi sahabatnya dan membuat keputusan untuk mempercayai Tuhan.
Apabila umat Tuhan komited untuk “berdoa sentiasa” (ayat 12), Dia membolehkan kita “semua hidup rukun” (ayat 16).
Apabila kita bersandar kepada doa, kita boleh membuat komitmen untuk menjalani hidup dalam iman dan mengasihi setiap orang kerana kita telah diciptakan menurut gambaran Tuhan. Apabila kita berseru kepada Tuhan, Dia akan membantu kita merobohkan setiap benteng pemisah serta membina jambatan perdamaian sesama kita.