Oleh sebab pernah disakiti oleh orang yang percaya kepada Yesus pada masa lalu, ibu saya menjadi marah ketika saya membuat keputusan untuk menerima Yesus dalam hidup saya. “Jadi, sekarang kamu akan menghakimi ibu? Tidak mungkin.” Dia meletakkan telefon dan enggan bercakap dengan saya selama setahun. Saya berasa sangat sedih, tetapi akhirnya menyedari bahawa hubungan saya dengan Tuhan adalah lebih penting daripada hubungan saya dengan orang tersayang. Saya pun berdoa untuk dia setiap kali dia menolak panggilan saya, dan memohon agar Tuhan menolong saya terus mengasihi dia.

Akhirnya, kami berdamai. Beberapa bulan kemudian, dia berkata, “Kamu telah berubah. Saya fikir saya sudah bersedia untuk mendengar lebih banyak tentang Yesus.” Tidak lama kemudian, dia juga menerima Kristus serta mula mengasihi Tuhan dan orang lain sepanjang hidupnya.

Seperti lelaki yang berlari ke arah Yesus dan bertanya bagaimana dia dapat mewarisi hidup yang kekal, tetapi pergi dengan sedih kerana enggan melepaskan kekayaannya (Markus 10:17–22), saya juga bergelut untuk menyerahkan segalanya demi mengikut Dia.

Bukanlah mudah untuk menyerahkan harta benda atau orang yang kita paling harapkan berbanding dengan Tuhan (ayat 23–25). Namun harga yang kita bayar atau tinggalkan di dunia ini tidak akan melebihi kurnia hidup yang kekal bersama Yesus. Tuhan kita yang penuh kasih dengan rela mengorbankan diri-Nya untuk menyelamatkan semua orang di dunia ini. Dia mengurapi kita dengan damai serta menghadiahi kita dengan kasih yang tidak ternilai dan berterusan.