Ketika saya mengikuti Li Bao mendaki dinding-dinding teres di pergunungan bahagian tengah negara China, hari semakin gelap. Saya tidak pernah mendaki kawasan seperti ini dan saya tidak dapat melihat langkah di depan atau kecuraman gunung di sebelah kiri kami. Saya berjalan sambil berdampingan erat dengan Li Bao. Saya tidak tahu ke arah mana yang kami pergi atau berapa lama lagi kami harus berjalan, tetapi saya percaya kepada kawan ini.

Saya berada dalam keadaan seperti Tomas, pengikut yang selalu memerlukan jaminan. Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya bahawa Dia mesti pergi untuk menyediakan tempat untuk mereka dan mereka “mengetahui jalan ke tempat [Dia] pergi itu” (Yohanes 14:4). Seterusnya Tomas menanyakan soalan yang logik: “Tuhan, kami tidak tahu ke mana Tuhan pergi, bagaimanakah kami dapat mengetahui jalan itu?” (ayat 5).

Yesus tidak menghilangkan keraguan Tomas dengan menjelaskan tempat yang Dia akan membawa mereka. Dia hanya meyakinkan pengikut-Nya bahawa Dialah jalan untuk mendapat hidup kekal. Itu pun sudah memadai.

Kita juga mempunyai persoalan mengenai masa depan kita. Tiada seorang pun tahu apa yang bakal berlaku. Kehidupan kita penuh dengan selok-belok yang kita tidak dapat lihat. Namun tidak mengapa. Ini kerana sudah memadai untuk mengetahui bahawa Yesus adalah “jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup” (ayat 6).

Yesus tahu apa yang ada di hadapan kita. Dia hanya meminta kita berjalan mendekati Dia.