Adrian dan keluarganya menderita penganiayaan di negara mereka kerana iman mereka dalam Yesus. Namun, mereka menunjukkan kasih Kristus di tengah-tengah kesusahan. Ketika berdiri di halaman gerejanya yang dimusnahkan kerana pernah digunakan oleh pengganas sebagai tapak latihan penembakan, dia berkata, “Hari ini adalah Jumaat Agung yang indah. Kita mengenang bahawa Yesus telah menderita untuk kita di kayu salib.” Seterusnya dia berkata, walaupun orang percaya tempatan menghadapi banyak penganiayaan, dia dan keluarganya tetap tinggal di negara itu: “Kami masih di sini, masih berdiri teguh.”

Golongan orang percaya ini mengikuti contoh wanita-wanita yang berdiri melihat Yesus mati disalibkan (Markus 15:40), mereka termasuklah Maria Magdalena, Maria ibu kepada Yakobus dan Yoses, dan Salome. Mereka berani untuk berdiri teguh, kerana sebagai rakan-rakan dan anggota keluarga Yesus, yang dianggap sebagai musuh negara, kemungkinan besar mereka akan dihina atau dihukum. Namun wanita-wanita tersebut menunjukkan kasih mereka kepada Yesus dengan menghadiri di tempat penyaliban. Mereka juga “mengikut dan menolong Yesus pada waktu Dia di Galilea” (ayat 41) dengan berdiri bersama-sama Dia pada saat yang paling susah.

Pada hari ini, ketika kita mengingati anugerah terbesar Penyelamat kita—kematian-Nya pada kayu salib, luangkan waktu untuk mempertimbangkan bagaimana kita boleh bersaksi tentang Yesus ketika kita menghadapi pelbagai ujian (lihat Yakobus 1:2–4). Fikirkan orang percaya di seluruh dunia yang menderita kerana iman mereka. Seperti dikatakan oleh Adrian, “Marilah kita berdiri teguh dalam iman melalui doa.”