Percutian Joe selama 8 minggu sebagai pekerja penjagaan krisis di sebuah gereja New York City, bukanlah cuti seperti namanya. Menurut dia, percutian ini lebih seperti “hidup semula di kalangan orang yang tiada tempat tinggal, mengalami apa rasanya lapar, letih, dan dilupakan.” Joe juga pernah tinggal di jalanan 9 tahun yang lalu apabila dia baru sahaja pindah dari Pittsburgh tanpa pekerjaan atau tempat tinggal. Selama 13 hari, dia tinggal di jalanan dan hanya mendapat sedikit makanan dan kurang tidur. Inilah caranya Tuhan mempersiapkan Joe selama beberapa dekad untuk melayani mereka yang berada dalam kekurangan.

Sewaktu Yesus datang ke dunia, Dia juga memilih untuk berkongsi pengalaman dengan menghampiri mereka yang Dia datang untuk diselamatkan. “Oleh sebab mereka yang disebut anak-anak adalah manusia yang terdiri daripada darah dan daging, maka Yesus sendiri menjadi seperti mereka dan hidup dalam keadaan manusia. Dia berbuat demikian, supaya dengan kematian-Nya Dia dapat memusnahkan Iblis yang menguasai kematian” (Ibrani 2:14). Sejak kelahiran hingga kematian-Nya, Kristus telah menjalani kehidupan sebagai manusia biasa—“tetapi Dia tidak berbuat dosa” (4:15). Oleh sebab Dia telah menakluki dosa, Dia dapat membantu kita semasa kita digoda untuk berdosa.

Yesus amat memahami semua kebimbangan yang kita alami di dunia ini. Dia yang menyelamatkan kita tetap berhubung dengan kita dan sangat memperhatikan kita. Dalam apa jua keadaan hidup, kita boleh yakin bahawa Dia menyelamatkan kita daripada musuh kita, yakni Iblis (2:14), juga akan bersedia untuk menolong kita pada saat-saat kita memerlukan bantuan.