Mereka memandang gambar yang sudah pudar kemudian memandang saya. Selepas itu mereka memandang bapa saya, dan kembali memandang saya. Kemudian memandang lagi kepada bapa saya. Mata mereka besar seperti piring! “Bapa, kamu kelihatan seperti datuk sewaktu dia masih muda!” Saya dan bapa saya tersenyum kerana kami sudah ketahui perkara ini sejak dahulu, namun anak saya baru sahaja menyedari hal tersebut. Walaupun saya dan bapa saya memang orang yang berbeza, tetapi pada realitinya saya memang benar-benar serupa dengan bapa saya sewaktu dia masih muda: dari segi ketinggian, saiz tubuh yang kurus, kepala dengan rambut gelap yang tebal, hidung yang mancung, dan telinga yang agak besar. Tidak, saya bukan bapa saya, tetapi jelas saya anak bapa saya.
Seorang pengikut Yesus yang bernama Filipus, pernah sekali bertanya, “Ya Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami” (Yohanes 14:8). Itu bukannya pertama kali Yesus menyatakan hal itu, namun respons-Nya masih menyebabkan mereka tertanya-tanya: “Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa” (ayat 9). Keserupaan fizikal yang ada antara saya dan bapa saya adalah berbeza dengan apa yang dikatakan Yesus: “Tidakkah kamu percaya bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku?” (ayat 10). Inti-Nya dan karakter-Nya adalah sama dengan Bapa-Nya.
Pada saat itu, Yesus berkata dengan terus terang kepada pengikut-pengikut-Nya yang dikasihi dan kita: Jika anda ingin mengetahui tentang ciri-ciri Tuhan, lihatlah Aku.
ILHAM
Filipus, yang dipilih oleh Yesus Sendiri (Yohanes 1:43), merupakan salah seorang pengikut yang dipanggil-Nya pada masa awal. Dalam kitab-kitab Injil Sinoptik—Matius, Markus, dan Lukas—Filipus selalu dipasangkan bersama Bartolomeus (Matius 10:3; Markus 3:18; Lukas 6:14). Bagaimanapun, dalam Injil Yohanes, Bartolomeus tidak disebut, tetapi Natanael (yang tidak disebut dalam kitab-kitab Injil Sinoptik) pula disebut. Banyak cendekiawan percaya bahawa Bartolomeus dan Natanael mungkin adalah orang yang sama, yang direkrut oleh Filipus (Yohanes 1:45-48).Dalam Yohanes 14:8-14, semasa para pengikut itu berkumpul di bilik di tingkat atas, Filipus menjawab satu soalan Tomas (Yohanes 14:5). Kenyataan bahawa Filipus meminta Yesus untuk menunjukkan Bapa kepada mereka menandakan bahawa, walaupun salah seorang pengikut pada awalnya, Filipus belum betul-betul memahami hati dan misi Yesus—untuk membuat Tuhan yang tidak kelihatan dapat dilihat (lihat 1:18). Tidak hairan Yesus memberi Filipus satu teguran lembut kerana permintaan yang tidak wajar itu; kerana ia telah digenapi sepanjang beberapa bulan mereka bersama.