Sewaktu kecil, saya sering ditanya soalan ini “Apa yang anda mahu jadi apabila dewasa nanti?” Jawapan saya berubah seperti angin. Doktor. Ahli bomba. Misionari. Pemimpin puji sembah. Ahli fizik—atau sebenarnya, MacGyver! (watak kegemaran TV). Kini, sebagai seorang bapa kepada 4 anak, saya berfikir betapa sukarnya bagi mereka apabila ditanyakan soalan itu. Ada kalanya saya ingin mengatakan, “Saya tahu apa kebolehan kamu!” Ibu bapa kadangkala boleh melihat lebih mendalam berbanding dengan anak-anak mereka sendiri.

Ini menyerupai apa yang dilihat Paulus dalam kalangan orang percaya di Filipi—mereka yang dikasihi dan didoakannya (Filipi 1:3). Dia dapat melihat kesudahan mereka; dia tahu apa yang terjadi kepada mereka. Alkitab memberi kita penglihatan yang besar tentang kesudahan kisah penyelamatan—kebangkitan dan pembaharuan segala sesuatu (lihat 1 Korintus 15 dan Wahyu 21). Tetapi Alkitab juga memberitahu kita tentang penulis kisah itu.

Paulus, dalam pembukaan surat yang ditulisnya dari penjara, dia mengingatkan jemaah di Filipi bahawa “Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali” (Filipi 1:6). Yesus memulakan pekerjaan dan Dia akan menyelesaikannya. Perkataan selesai sangat penting—kisah-Nya tidak hanya berakhir begitu sahaja, kerana Tuhan tidak membiarkan apa-apa yang tidak selesai.