Saya pernah berucap dalam satu persidangan sekular untuk pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak. Ramai pasangan yang kecewa dan berputus asa telah menghadiri persidangan tersebut. Saya sendiri telah mengalami pengalaman madul seperti mereka, jadi saya berusaha memberi dorongan kepada mereka, “Kamu boleh memiliki identiti yang bermakna tanpa menjadi ibu bapa. Aku percaya kamu dicipta dengan baik dan luar biasa, ada tujuan hidup baru sedang menantikan kamu.”
Seorang wanita kemudian menghampiri saya sambil menangis dan berkata, “Terima kasih. Aku berasa diri tidak berharga kerana tidak dapat melahirkan anak. Tetapi hari ini aku mendengar bahawa aku dicipta dengan baik dan luar biasa.” Saya bertanya sama ada dia percaya kepada Yesus, dan dia menjawab, “Aku telah menjauhi Tuhan beberapa tahun yang lalu. Tetapi aku perlu memulihkan hubunganku dengan Dia.”
Masa seperti ini mengingatkan saya betapa pentingnya Injil. Beberapa identiti seperti “ibu” dan “bapa,” sukar dicapai oleh sejumlah orang. Bagi mereka yang menjadikan kerjaya sebagai dasar identiti, mereka boleh kehilangan identiti tersebut apabila mereka kehilangan pekerjaan. Tetapi melalui Yesus, kita menjadi “anak-anak Allah yang dikasihi-Nya”—identiti yang tidak dapat dirampas (Efesus 5:1). Kemudian “hidup kamu harus dijiwai oleh kasih”—tujuan hidup yang menjangkaui sebarang identiti atau status pekerjaan (ayat 2).
Semua manusia dicipta “dengan baik dan luar biasa” (Mazmur 139:14) dan mereka yang mengikut Yesus menjadi anak-anak Tuhan (Yohanes 1:12–13). Wanita tersebut meninggalkan tempat itu dengan harapan. Dia akan mencari identiti dan tujuan hidup yang lebih besar daripada apa yang dapat diberikan oleh dunia ini.