Martha berkhidmat sebagai pembantu guru di sebuah sekolah rendah untuk lebih daripada 30 tahun. Setiap tahun, dia menyimpan wang untuk membeli kot, selendang dan sarung tangan baru untuk pelajar yang memerlukan. Selepas Martha meninggal dunia akibat leukemia, kami mengadakan upacara memorial untuknya. Orang ramai tidak membawa bunga, sebaliknya mereka menyumbangkan ratusan kot musim sejuk yang baru kepada para pelajar yang disayangi dan dilayaninya selama beberapa dekad. Ramai hadirin berkongsi bagaimana Martha telah mendorong orang lain dengan kata-kata dan perbuatannya yang baik. Rakan-rakan sekerjanya memperingati Martha dengan mengadakan kempen derma kot tahunan selama 3 tahun selepas pemergiannya. Kebaikan Martha masih memberikan inspirasi kepada orang lain untuk melayani mereka yang memerlukan.
Dalam Kisah Rasul-Rasul 9, Lukas menceritakan tentang Dorkas, seorang wanita yang “melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin” (ayat 36). Setelah Dorkas jatuh sakit lalu meninggal dunia, orang ramai yang sedang meratapi menggesa Petrus mengunjungi mereka. Semua balu menceritakan kepada Petrus tentang pelayanan Dorkas sepanjang hidupnya (ayat 39). Melalui mukjizat, Petrus dengan belas kasihan menghidupkan kembali Dorkas. Berita tentang kebangkitan Dorkas tersebar dan “banyak orang percaya kepada Tuhan” (ayat 42). Komitmen Dorkas yang melayani orang lain dengan cara praktikal, menyentuh hati masyarakatnya serta menyingkapkan kuasa kasih dan kemurahan.