Anak lelaki kami menghabiskan tahun-tahun awal hidupnya di rumah anak yatim sebelum kami mengambilnya sebagai anak angkat. Sebelum meninggalkan bangunan batu bata, kami memintanya mengumpulkan barang-barang peribadinya. Malangnya, dia tidak memiliki apa-apa. Kami menukar pakaiannya dengan pakaian baharu yang kami bawa untuknya, dan memberikan pakaian untuk kanak-kanak lain. Walaupun saya berasa sedih kerana dia tidak memiliki apa-apa, saya tetap gembira kerana sekarang kami dapat memenuhi keperluan fizikal dan emosinya.
Beberapa tahun kemudian, kami melihat seseorang sedang mengutip derma untuk beberapa keluarga. Anak saya sangat bersemangat mendermakan haiwan mainan dan wang syiling untuk membantu. Berdasarkan latar belakangnya, memang difahami dia mungkin lebih cenderung memegang erat barang-barang kepunyaannya.
Pada pendapat saya, alasan bagi tindakannya yang murah hati itu adalah sama dengan gereja awal: “Kasih kurnia besar melimpahi mereka sekalian” sehingga tidak seorang pun antara mereka yang ada kekurangan (Kisah Rasul-Rasul 4:33-34). Setiap orang dengan rela hati menjual harta benda mereka untuk memenuhi keperluan satu sama lain.
Apabila kita menyedari keperluan orang lain, baik dari segi kebendaan atau hal lain, semoga kasih kurnia Tuhan yang besar melimpahi kita sehingga kita dapat bertindak seperti mereka, dengan rela memberi bantuan dengan sepenuh hati. Ini menjadikan kita saluran berkat Tuhan sebagai rakan seiman dalam Yesus, yang “hidup sehati dan sefikiran” (ayat 32).