Masa remaja kadangkala merupakan zaman yang paling menyakitkan baik bagi ibu bapa mahupun anak-anak. Semasa saya masih remaja, saya berusaha mahu “ bebas” daripada kawalan ibu saya. Dengan terang-terang, saya tidak menghormatinya dan melawan peraturannya. Malah saya sangsi bahawa tujuan sebenar mereka hanyalah untuk membuat saya sengsara. Meskipun akhirnya kami mencapai persetujuan bersama, hubungan kami ketika itu sangat tegang. Sikap saya yang tidak memperhatikan hikmat di sebalik peraturan yang diberi oleh ibu saya benar-benar menyakiti hatinya. Mereka tahu bahawa peraturan itu akan menghindarkan saya daripada kesengsaraan emosi dan fizikal yang tidak sepatutnya terjadi.
Tuhan mempunyai niat yang sama terhadap anak-anak-Nya, Israel. Tuhan menyalurkan hikmat-Nya melalui Sepuluh Hukum Tuhan (Ulangan 5:7-21). Meskipun hukum-hukum itu dapat dilihat sebagai senarai peraturan, tetapi apa yang dikehendaki Tuhan jelas dalam kata-kata-Nya kepada Musa: “supaya mereka dan keturunan mereka sejahtera selama-lamanya” (ayat 29). Musa memahami kehendak Tuhan dengan mengatakan bahawa ketaatan kepada perintah-Nya akan membuat mereka bergembira akan kehadiran-Nya yang selama-lamanya di tanah yang dijanjikan (ayat 33).
Kita juga melalui zaman “remaja” dengan Tuhan. Kita tidak mempercayai bahawa pimpinan-Nya adalah benar-benar bertujuan untuk kebaikan kita. Semoga kita sedar bahawa Dia menginginkan yang terbaik untuk kita, dan belajar memperhatikan hikmat yang ditawarkan-Nya. Pimpinan-Nya bertujuan untuk mengarahkan kita kepada kematangan rohani sehingga kita semakin menyerupai Yesus (Mazmur 119:97-104; Efesus 4:15; 2 Petrus 3:18).
ILHAM
Sebelum mesej Musa diberikan kepada orang Israel dalam Ulangan 5:28–32, dia telah memberitahu mereka tentang “Sepuluh Hukum Allah” (ayat 6–21) dan mengingatkan mereka tentang respons awal mereka yang takut dan kagum ketika hadirat Tuhan melingkupi Gunung Sinai (ayat 23–27; rujuk Keluaran 20:18–21).Tuhan berasa senang hati dengan respons mereka yang takut kepada-Nya (Ulangan 5:28). Seterusnya, menariknya, kita dapat mengesan kerinduan dalam suara-Nya: “Alangkah baiknya jika mereka sentiasa takut akan Aku dan taat kepada segala perintah-Ku” (ayat 29). Kita sepatutnya “takut” kepada-Nya kerana kita tahu akan kekudusan-Nya, menghormati dan menjunjung-Nya, hati-Nya rindu akan kita. Eloknya kita mengingati kata-kata dalam Ibrani 4:16: “Marilah kita dengan penuh keberanian menghadap takhta Allah, kerana di situ rahmat-Nya melimpah. Di situ kita akan menerima belas kasihan-Nya dan mengalami kasih-Nya, pada masa kita memerlukan pertolongan.”