Sewaktu Hannah Wilberforce (ibu saudara kepada pemimpin gerakan penghapusan perhambaan, William Wilberforce) berada dalam keadaan tenat, dia menulis surat yang menyebut kisah kematian seorang percaya dengan kata-kata ini: “Berbahagialah orang yang meninggal dunia dan sekarang bersama-sama Yesus yang dikasihinya walaupun tidak pernah dilihatnya. Hati saya melonjak dengan sukacita.” Kemudian dia menjelaskan tentang dirinya, “Sama ada keadaan saya baik atau buruk, Yesus tetap baik selamanya.”
Kata-katanya mengingatkan saya tentang Mazmur 23, Daud menulis, “Walaupun aku melalui tempat yang gelap gelita, aku tidak akan takut, ya TUHAN, kerana Engkau menyertai aku” (ayat 4). Kata-kata itu sangat memberangsangkan kerana dia merasakan hadirat Tuhan yang begitu nyata sewaktu dia berada di tengah-tengah lembah bayangan maut. Pada mulanya, Daud berkata tentang Tuhan, “TUHAN ialah gembalaku” (ayat 1); kemudian dia bercakap terus dengan Tuhan: “Engkau menyertai aku” (ayat 4).
Sungguh menghiburkan apabila mengetahui bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa yang “menciptakan dunia” (90:2) juga berbelas kasihan sehingga Dia berjalan bersama-sama kita melalui tempat yang paling sukar. Sama ada situasi kita bertambah baik atau buruk, kita boleh sentiasa kembali kepada Gembala, Penyelamat dan Sahabat kita, dan mengetahui bahawa Dia selalu baik. Begitu baik sehingga maut sekalipun dikalahkan, dan kita boleh berkata, “rumah-Mu akan menjadi rumahku sepanjang hidupku” (23:6).