Pada tahun 2019 sempena majlis penamatan pelajaran di sekolah menengah, seramai 608 pelajar bersedia untuk menerima sijil. Pengetua mula meminta para pelajar berdiri ketika dia menyebut nama negara kelahiran mereka: Afghanistan, Bolivia, Bosnia … Pengetua terus membaca sehingga selesai menyebut 60 buah negara dan setiap pelajar pun berdiri diiringi sorakan. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada 60 buah negara, tetapi belajar di sekolah menengah yang sama.
Keindahan perpaduan di tengah-tengah kepelbagaian merupakan gambaran yang diperhatikan Tuhan, iaitu orang-orang yang hidup bersama dalam kesatuan.
Kita didorong untuk bersatu sebagai umat Tuhan dalam Mazmur 133. Ia merupakan sebuah mazmur ziarah, iaitu lagu yang dinyanyikan ketika orang memasuki Yerusalem sempena perayaan tahunan. Mazmur ini mengingatkan umat Tuhan tentang manfaat untuk hidup dengan harmoni (ayat 1), walaupun terdapat perbezaan yang boleh menyebabkan perpecahan. Dengan huraian yang jelas, kesatuan digambarkan seperti embun yang menyegarkan (ayat 3) dan minyak yang digunakan untuk mengurapi para imam (Keluaran 29:7) yang “dituangkan ke atas kepala”, janggut, dan jubah seorang imam (ayat 2). Gambaran ini menunjukkan satu kenyataan bahawa berkat Tuhan akan mengalir dalam kelimpahan apabila kita hidup bersatu.
Bagi orang yang percaya kepada Yesus, walaupun terdapat perbezaan seperti etnik, kewarganegaraan atau usia, ada kesatuan yang kuat dalam Roh Tuhan (Efesus 4:3). Ketika kita bersatu dan meraikan hubungan rapat dalam Yesus yang memimpin kita, kita dapat saling menerima perbezaan dan meraikan kesatuan sejati yang diberikan Tuhan.
ILHAM
Semasa pemerintahan Daud sebagai raja, timbulnya banyak konflik, tetapi tema Mazmur 133, yang ditulisnya ialah perpaduan. James Montgomery Boice, seorang ahli teologi menyatakan bahawa pertabalan Daud mungkin ialah inspirasi untuk mazmur itu. Bangsa itu telah berpecah-belah di bawah pimpinan Saul, dan pertabalan Daud mungkin telah memenuhi rakyat dengan harapan. Pertabalan menandakan permulaan baru, harapan untuk perpaduan di bawah pemerintahan raja baru.Mazmur ziarah ini menyebutkan dua tempat, kedua-duanya merujuk kepada gunung. Gunung Hermon, setinggi 2,814 meter adalah puncak tertinggi di pesisiran pantai timur Laut Mediterranean. Ia terletak jauh di utara Gunung Sion di Yerusalem (ketinggian 765 meter). Gambaran embun dari Gunung Hermon yang dilitupi salji menemani para penziarah yang berjalan di atas jalan berdebu ke Yerusalem untuk merayakan tiga perayaan tahunan itu—Paska, hari Pentakosta (Hari Raya Tujuh Minggu) dan Perayaan Pondok Daun.