Gumuk pasir yang menjulang tinggi di sepanjang pantai utara Silver Lake (Tasik Perak, Amerika Syarikat) membuatkan rumah-rumah yang berdekatan mengalami risiko tinggi untuk tenggelam ke dalam pasir yang berubah-ubah. Walaupun penduduk berusaha menggali timbunan pasir untuk melindungi kediaman mereka, mereka tetap menyaksikan rumah-rumah mereka yang dibina kukuh terkubur tepat di depan mata mereka tanpa boleh berbuat apa-apa. Seorang polis tempatan yang menyelia pembersihan sebuah kotej yang musnah menegaskan bahawa bencana ini tidak dapat dielakkan. Walaupun para pemilik rumah berusaha keras untuk menghindari bahaya benteng yang tidak stabil, gumuk pasir itu tidak dapat memberikan sokongan asas yang kuat.
Yesus tahu kesia-siaan membina rumah di atas pasir. Setelah mengingatkan para pengikut untuk berhati-hati terhadap nabi-nabi palsu, Dia meyakinkan mereka bahawa orang yang bijak adalah orang yang mentaati Tuhan (Matius 7:15–23). Dia mengatakan bahawa setiap orang yang mendengar kata-kata-Nya dan “menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu” (ayat 24). Orang yang mendengar firman Tuhan tetapi memilih untuk tidak mempraktikkannya adalah “seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir” (ayat 26).
Apabila keadaan kita terasa seperti menguburkan diri kita di bawah pasir yang berubah-ubah akibat daripada beban penderitaan atau kebimbangan, kita dapat berharap kepada Kristus, Pelindung kita yang teguh. Dia akan menolong kita membina iman yang kuat di atas dasar sifat-Nya yang tidak berubah.
ILHAM
Bahagian terakhir Khutbah di atas Bukit oleh Yesus (Matius 5–7) mengandungi perumpamaan pembina rumah yang pandai dan yang bodoh (7:24–27).Kita harus mengambil perhatian terhadap seluruh Khutbah di atas Bukit yang membawa kepada kesimpulan dalam perumpamaan ini. Cabaran Yesus bagi kita bukan semata-mata mengamalkan hidup yang salih, melainkan kita perlu hidup sebagai umat Pemerintahan Tuhan dan biar hidup kita dapat memperlihatkan bahawa Tuhan bertakhta dalam hati kita. Perumpamaan ini ialah cabaran Yesus kepada para pendengar-Nya supaya mereka mengamalkan ajaran-Nya dalam hidup. Mereka harus menjadikan Dia dan ajaran-Nya sebagai dasar hidup mereka, kerana semua dasar yang lain dapat bergeser dan hancur.