Gumuk pasir yang menjulang tinggi di sepanjang pantai utara Silver Lake (Tasik Perak, Amerika Syarikat) membuatkan rumah-rumah yang berdekatan mengalami risiko tinggi untuk tenggelam ke dalam pasir yang berubah-ubah. Walaupun penduduk berusaha menggali timbunan pasir untuk melindungi kediaman mereka, mereka tetap menyaksikan rumah-rumah mereka yang dibina kukuh terkubur tepat di depan mata mereka tanpa boleh berbuat apa-apa. Seorang polis tempatan yang menyelia pembersihan sebuah kotej yang musnah menegaskan bahawa bencana ini tidak dapat dielakkan. Walaupun para pemilik rumah berusaha keras untuk menghindari bahaya benteng yang tidak stabil, gumuk pasir itu tidak dapat memberikan sokongan asas yang kuat.

Yesus tahu kesia-siaan membina rumah di atas pasir. Setelah mengingatkan para pengikut untuk berhati-hati terhadap nabi-nabi palsu, Dia meyakinkan mereka bahawa orang yang bijak adalah orang yang mentaati Tuhan (Matius 7:15–23). Dia mengatakan bahawa setiap orang yang mendengar kata-kata-Nya dan “menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu” (ayat 24). Orang yang mendengar firman Tuhan tetapi memilih untuk tidak mempraktikkannya adalah “seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir” (ayat 26).

Apabila keadaan kita terasa seperti menguburkan diri kita di bawah pasir yang berubah-ubah akibat daripada beban penderitaan atau kebimbangan, kita dapat berharap kepada Kristus, Pelindung kita yang teguh. Dia akan menolong kita membina iman yang kuat di atas dasar sifat-Nya yang tidak berubah.