Dengan mengenakan jaket berjalurnya, James berjalan melintasi gim penjara yang berwap dan naik ke kolam renang mudah alih, tempat yang dia dibaptis oleh pastor penjara. Namun, kegembiraan James berlipat ganda ketika dia mendengar bahawa anak perempuannya Brittany—juga seorang banduan—telah dibaptis pada hari yang sama … di tempat yang sama! Ketika mereka menyedari apa yang telah berlaku, malah kakitangan penjara turut terharu. “Air mata bergenang dalam mata setiap orang,” kata pastor itu. Selama bertahun-tahun keluar masuk penjara, Brittany dan ayahnya bersama-sama menginginkan pengampunan Tuhan. Tuhan pun memberi mereka kehidupan baharu.
Alkitab menggambarkan satu lagi peristiwa yang berlaku di penjara—kali ini dengan ketua penjara—kasih Yesus telah mengubah seluruh keluarganya. Selepas “gempa yang kuat sekali” menggoncangkan penjara dan “pintu penjara terbuka,” Paulus dan Silas tidak melarikan diri tetapi tetap berada di dalam sel mereka (Kisah Rasul-Rasul 16:26-28). Ketua penjara yang sangat bersyukur kerana mereka tidak melarikan diri, telah membawa mereka ke rumahnya dan akhirnya mengajukan soalan yang mengubah kehidupan: “Apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?” (ayat 30)
“Percayalah kepada Tuhan Yesus,” jawab mereka, “kamu dan keluargamu” (ayat 31). Respons itu menunjukkan keinginan Tuhan untuk mencurahkan belas kasihan-Nya bukan sahaja kepada individu tetapi juga seluruh keluarga. Setelah menemukann kasih Tuhan, “ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah” (ayat 34). Walaupun kita amat bersemangat untuk menyelamatkan orang-orang yang kita kasihi, kita boleh mempercayai bahawa Tuhan lebih mengasihi mereka daripada kita. Dia ingin sekali memperbaharui kita, dan seluruh keluarga kita.