Semasa melawat zoo, saya berehat berhampiran pameran sloth. Makhluk itu bergantung secara terbalik di dahan. Ia kelihatan puas bergantung diam-diam di situ. Saya menghela nafas. Oleh sebab masalah kesihatan, saya bergelut untuk menjadi diam dan ingin terus berjalan dan melakukan sesuatu—apa sahaja. Saya marah akan keterbatasan saya. Saya ingin sekali berhenti berasa lemah. Tetapi sementara saya menatap sloth itu, saya memerhatikan bagaimana binatang ini menghulurkan satu lengan, mencengkam dahan berdekatan dan berhenti bergerak lagi. Berdiam pun memerlukan kekuatan. Jikalau saya ingin berasa puas dengan bergerak perlahan atau berdiam seperti sloth, saya memerlukan kekuatan otot yang luar biasa. Untuk menyerahkan setiap saat yang perlahan dalam hidup saya kepada Tuhan, saya memerlukan kekuatan yang luar biasa.

Dalam Mazmur 46, penulis mengisytiharkan bahawa Tuhan tidak hanya memberi kita perlindungan, Dia adalah kekuatan kita (ayat 1). Walau apa pun yang berlaku di sekitar kita, “TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita” (ayat 7). Pemazmur mengulangi kebenaran ini dengan penuh keyakinan (ayat 11).

Seperti sloth, pengembaraan hari ke hari kita sering memerlukan langkah-langkah yang perlahan dan tempoh lanjutan untuk berdiam diri yang kelihatan mustahil. Apabila kita berharap kepada Tuhan yang tidak berubah, kita dapat bergantung pada kekuatan-Nya tidak kira apa pun rancangan dan kelajuan langkah kerana segala yang ditentukan-Nya sesuai untuk kita.

Meskipun kita terus bergelut untuk melawan penderitaan atau penantian, Tuhan tetap hadir dengan setia. Walaupun kita tidak berasa kuat, Dia akan menolong kita melenturtegangkan otot iman kita.