Selepas mengeluarkan bahagian-bahagian meja pesanan khas saya dari kotak dan meletakkannya di hadapan saya, saya mendapati ada sesuatu yang tidak betul. Bahagian atas meja yang cantik dan bahagian-bahagian lain ada, tetapi salah satu kakinya hilang. Tanpa kaki meja yang lengkap, saya tidak dapat memasang meja, ini menjadikannya tidak berguna.

Bukan hanya meja yang tidak berguna apabila kehilangan satu bahagiannya yang penting. Dalam kitab 1 Korintus, Paulus mengingatkan para pembacanya bahawa mereka telah kehilangan satu komponen penting. Orang-orang percaya di Korintus mempunyai banyak kurnia rohani tetapi tidak memiliki kasih.

Dengan menggunakan bahasa yang menonjol untuk menekankan maksudnya, Paulus menulis bahawa meskipun pembacanya memiliki segala pengetahuan, jika mereka mendermakan setiap benda yang dimiliki mereka, bahkan jika mereka rela menderita kesusahan, tetapi tanpa kasih, dasar yang terpenting itu, maka semua tindakan mereka tidak berguna (1 Korintus 13:1-3). Paulus mendorong mereka sentiasa menyemai tindakan mereka dengan kasih, dan dengan jelas menggambarkan keindahan kasih yang sentiasa melindungi, mempercayai, berharap dan bersabar (ayat 4-7).

Ketika kita menggunakan kurnia rohani kita, mungkin untuk mengajar, mendorong, atau melayani saudara seiman kita, ingatlah bahawa rancangan Tuhan sentiasa mengutamakan kasih. Jika tidak, itu seperti meja yang hilang satu kaki. Meja itu tidak dapat mencapai tujuan reka bentuk yang sebenarnya.