Andai kata anda memulakan perjalanan di barat daya Amerika Syarikat dari sebuah bandar berdebu yang bernama Why (Mengapa), di Arizona, anda akan merentas desa yang akan membawa anda ke Uncertain (Tidak Pasti), di Texas. Dengan menghala ke timur laut, anda akan berehat di Dismal (Suram), di Tennessee. Akhirnya, anda akan sampai ke destinasi anda—Panic (Panik), di Pennsylvania. Ini adalah nama-nama tempat sebenar di sepanjang landskap Amerika, walaupun mungkin bukan perjalanan yang akan anda pilih.
Kadangkala beginilah keadaan yang sebenarnya dalam perjalanan kehidupan. Kita dapat mengaitkan diri dengan mudah tentang kehidupan umat Israel yang sukar di padang gurun (Ulangan 2:7)—memang ada kesukaran dalam kehidupan. Tetapi adakah kita melihat persamaan yang lain? Kita membuat jadual perjalanan kita sendiri, berpaling dari jalan Tuhan (Ulangan 1:42-43). Seperti umat Israel, kita kerap merungut supaya memenuhi keperluan kita sendiri (Bilangan 14:2). Dalam kerisauan harian, kita juga meragui kehendak Tuhan (Bilangan 14:11). Kisah orang Israel terus berulang-ulang dalam kisah hidup kita sendiri.
Tuhan meyakinkan jika kita mengikut jalan-Nya, Dia akan membawa kita ke tempat yang jauh lebih baik daripada Dismal (Suram). Dia akan menyediakan segalanya dan kita tidak akan kekurangan apa-apa yang kita perlukan (Ulangan 2:7; Filipi 4:19). Walaupun kita sudah mengetahui fakta ini, kita sering gagal melakukannya. Kita perlu mengikut peta Tuhan.
Apabila memandu enam jam lagi, anda akan berangkat dari bandar Panic (Panik) ke tempat yang dikenali sebagai Assurance (Kepastian) di West Virginia. Sekiranya kita mengizinkan Tuhan mengarahkan jalan kita (Mazmur 119:35), perjalanan hidup kita akan penuh kegembiraan bersama dengan Dia—kepastian yang sungguh diberkati!