Sukarelawan di sebuah organisasi penyelamat binatang ternakan di Australia menemui seekor biri-biri yang berkeliaran dibebani oleh bulu kusut dan kotor yang beratnya lebih daripada 34 kilogram. Penyelamat mengesyaki biri-biri itu telah dilupakan dan hilang di semak belukar sekurang-kurangnya lima tahun. Para sukarelawan menenangkan biri-biri tersebut ketika melalui proses yang tidak selesa dengan mencukur bulunya yang berat itu. Setelah dibebaskan daripada bebanan, biri-biri yang diberi nama Baarack itu pun mula makan. Kakinya semakin kuat. Ia semakin yakin dan tenang ketika bersama-sama dengan para penyelamatnya dan haiwan-haiwan lain di tempat perlindungan tersebut.
Sang pemazmur Daud memahami keperitan ketika dibebani oleh beban yang berat, merasa dilupakan dan sesat, malah terdesak untuk kedatangan misi penyelamatan. Dalam Mazmur 38, Daud berseru kepada Tuhan. Dia telah melalui keterasingan, pengkhianatan, dan ketidakupayaan (ayat 11-14). Tetapi dia masih berdoa dengan yakin: “Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berharap; Engkau akan mendengar, ya Tuhan, Allahku” (ayat 15). Daud tidak menafikan kesusahan atau menidakkan duka badai jiwanya serta penyakit fizikalnya (ayat 16-20). Sebaliknya, dia percaya bahawa Tuhan akan mendekatinya serta menjawabnya pada masa yang tepat dan dengan cara yang terbaik (ayat 21-22).
Ketika kita merasa dibebani oleh beban fizikal, mental dan emosi, Tuhan tetap berkomitmen kepada misi penyelamatan yang telah dirancang-Nya sejak mula-mula Dia mencipta kita. Kita boleh mengharapkan hadirat-Nya ketika kita berseru kepada-Nya: “Segeralah tolong aku, ya Tuhan, Penyelamatku!” (ayat 22).