“Nampak kah, saudara Tim?” Kawan saya, seorang pastor dari Ghana, menyuluh ke arah satu objek yang terukir dan terletak dalam pondok lumpur. Dengan perlahan dia berkata, “Itu adalah patung pujaan kampung.” Setiap Selasa petang, pastor Sam masuk ke pedalaman untuk berkongsi Injil di kampung terpencil ini.

Dalam kitab Yehezkiel, kita melihat bagaimana penyembahan berhala merundung orang Yehuda. Apabila beberapa orang pemimpin umat Yerusalem datang untuk bertemu dengan nabi Yehezkiel, Tuhan berkata kepadanya, “Wahai anak manusia, kalangan ini menjunjung berhala-berhala mereka dalam hati” (14:3). Tuhan bukan sahaja memberi amaran kepada mereka terhadap penyembahan berhala yang diukir daripada kayu dan batu. Dia juga mendedahkan bahawa penyembahan berhala ialah satu masalah hati. Setiap kita bergelut dalam perkara ini.

Guru Alkitab Alistair Begg menggambarkan berhala sebagai “sesuatu selain daripada Tuhan yang kita anggap amat diperlukan dan penting demi kedamaian, penampilan diri, kepuasan, dan penerimaan kita.” Malah sesuatu benda yang mempunyai penampilan mulia juga boleh menjadi berhala bagi kita. Apabila kita mencari penghiburan atau nilai diri selain daripada Tuhan yang hidup, kita telah melakukan penyembahan berhala.

“Bertaubatlah dan berpalinglah daripada berhala-berhalamu. Palingkanlah mukamu daripada segala kekejianmu” (ayat 6), firman Tuhan. Israel terbukti tidak dapat melakukannya. Syukurlah, Tuhan mempunyai jalan penyelesaiannya. Ketika menantikan kedatangan Yesus Kristus yang kedua kali dan pemberian Roh Kudus, Dia berjanji, “Kemudian Aku akan mengurniakan kepadamu hati yang baru dan menaruh roh yang baru dalam batinmu” (36:26). Kita tidak dapat melakukannya sendiri.