Pada usia 4 bulan, Leo tidak pernah melihat ibu bapanya. Dia dilahirkan dengan penyakit luar biasa yang menyebabkan penglihatannya kabur. Dia bagaikan hidup dalam kabus tebal. Tetapi doktor mata telah memberikannya sepasang cermin mata khas.
Bapa Leo menyiarkan video sewaktu ibu Leo mengenakan cermin mata baharu pada matanya buat kali pertama. Kami melihat mata Leo perlahan-lahan menjadi fokus. Senyuman melebar di wajahnya kerana dia benar-benar dapat melihat ibunya untuk kali pertama. Pada saat yang tidak ternilai ini, akhirnya si Leo kecil dapat melihat dengan jelas.
Yohanes melaporkan perbualan Yesus dengan murid-murid-Nya. Filipus meminta Yesus, “Tunjukkanlah Bapa kepada kami” (Yohanes 14:8). Walaupun setelah sekian lama bersama, murid-murid Yesus tidak dapat mengenali-Nya. Dia menjawab, “Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku?” (ayat 10). Sebelum ini Yesus telah berkata, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup” (ayat 6). Ini adalah pernyataan “Aku” yang keenam daripada tujuh pernyataan Yesus. Dia sedang memberitahu kita melihat melalui kanta “Aku” ini dan melihat siapa Dia sebenarnya—Dia adalah Tuhan.
Kita mempunyai banyak persamaan dengan para murid Yesus. Pada masa sukar, kita bergelut sehingga penglihatan kita menjadi kabur. Kita gagal memberi tumpuan pada apa yang telah dan boleh dilakukan oleh Tuhan. Apabila si Leo kecil memakai cermin mata khas, dia dapat melihat ibu bapanya dengan jelas. Mungkin kita perlu memakai cermin mata Tuhan supaya kita dapat melihat dengan jelas siapa sebenarnya Yesus.