Abraham Wald, seorang ahli matematik yang berbangsa Hungary, menyumbangkan kemahirannya kepada masalah yang dihadapi sewaktu Perang Dunia II setelah datang ke Amerika Syarikat pada tahun 1938. Pihak tentera sedang mencari cara untuk melindungi kapal terbang perang mereka daripada tembakan musuh. Oleh itu, Wald dan rakan-rakannya dalam Kumpulan Penyelidikan Statistik diminta untuk memikirkan cara agar kapal terbang tentera dapat lebih bertahan daripada tembakan musuh. Mereka bermula dengan memeriksa kapal terbang yang kembali untuk melihat bahagian yang mengalami kerosakan paling teruk. Wald dikenal sebagai seorang yang memiliki kepekaan khusus. Dia sedar bahawa kapal terbang yang pulang dari medan pertempuran, adalah yang terkena tembakan tetapi berjaya kembali dengan selamat. Dia menyedari bahawa bahagian yang sangat memerlukan perisai tambahan hanya dapat ditemui pada kapal terbang yang telah terhempas. Enjin kapal terbang adalah bahagian yang paling mudah terkena tembakan, maka sukar untuk mengesan masalah ini pada kapal terbang yang terhempas.
Salomo mengajar kita tentang melindungi bahagian tubuh kita yang paling lemah, iaitu hati kita. Dia mengarahkan anaknya agar “jagalah hatimu … kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan” (Amsal 4:23). Perintah Tuhan membimbing kita menjalani kehidupan, menjauhi kita daripada membuat keputusan yang salah dan mengajar apa itu tumpuan hidup kita.
Jika kita melindungi hati kita dengan mentaati perintah-Nya, kita harus “jauhkanlah kaki [kita] daripada kejahatan” dan menetapkan langkah kita untuk mengikut Tuhan (ayat 27). Kita berjalan dalam wilayah musuh pada setiap hari, tetapi dengan hikmat Tuhan yang menjaga hati kita, kita boleh terus fokus pada panggilan kita untuk hidup dengan baik bagi kemuliaan Tuhan.