Kehidupan keluarga Andrea tidak stabil, dan dia meninggalkan rumahnya pada usia 14 tahun, mencari pekerjaan dan tinggal bersama dengan rakan-rakan. Oleh sebab mendambakan kasih sayang dan pengesahan orang, dia kemudiannya tinggal bersama dengan seorang lelaki yang memberinya dadah dan itu lebih memburukkan keadaan kerana dia juga mempunyai tabiat minum alkohol. Tetapi hubungannya dengan lelaki tersebut dan dadah tidak dapat memuaskan hatinya. Dia terus mencari, dan beberapa tahun kemudian, dia bertemu dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, yang menghubunginya dan berdoa bersamanya. Beberapa bulan kemudian, akhirnya dia bertemu dengan Peribadi yang dapat memuaskan dahaga jiwanya akan kasih—Yesus.
Wanita Samaria yang dihampiri oleh Yesus di tepi sebuah perigi untuk mendapatkan air, mendapati dahaganya juga dipuaskan. Dia berada di sana pada waktu matahari terik (Yohanes 4:5-7), mungkin untuk mengelakkan tatapan sinis dan gosip wanita lain yang mengetahui tentang sejarah hidupnya, iaitu mempunyai ramai suami bahkan masih mengadakan hubungan zina (ayat 17-18). Apabila Yesus menghampirinya dan meminta air, dia menentang kelaziman sosial pada masa itu, kerana Dia, sebagai seorang guru Yahudi, biasanya tidak akan bergaul dengan seorang wanita Samaria. Tetapi Dia mahu mengurniainya air hidup yang akan membawa kehidupan kekal kepadanya (ayat 10). Dia mahu memuaskan dahaganya.
Apabila kita menerima Yesus sebagai Penyelamat kita, kita juga minum air hidup ini. Kita kemudian boleh berkongsi secawan minuman air hidup dengan orang lain semasa kita menjemput mereka mengikut Dia.