Dalam satu temu bual, seorang pemuzik yang percaya kepada Kristus mengimbas kembali sewaktu dia didesak untuk “berhenti bercakap tentang Yesus”. Mengapa? Rupanya ada orang bercadang bahawa kumpulannya boleh menjadi lebih terkenal dan mengumpul lebih banyak wang untuk memberi makan kepada orang miskin jika dia berhenti mengatakan bahawa seluruh kerjanya adalah mengenai Yesus. Selepas memikirkannya, dia memutuskan, “Inti muzik saya adalah berkongsi kepercayaan saya dalam Kristus … Tidak mungkin saya akan berdiam diri.” Dia berkata bahawa “ jiwanya membara untuk berkongsi mesej tentang Yesus.”
Dalam keadaan yang lebih mengancam, para rasul menerima berita yang sama. Mereka telah dipenjarakan dan secara ajaib dibebaskan oleh malaikat Tuhan, yang memberitahu mereka terus menyampaikan kehidupan baharu mereka dalam Kristus kepada orang lain (Kisah Para Rasul 5:19-20). Apabila para pemimpin agama mengetahui bahawa para rasul telah dibebaskan malah masih memberitakan Injil, para pemimpin menegur mereka: “Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu?“ (ayat 28).
Mereka menjawab: “Kami harus taat akan Allah, bukan manusia!” (ayat 29). Akibatnya, para pemimpin memukul para rasul dan mereka “dilarang lagi bercakap dengan nama Yesus” (ayat 40). Para rasul bersukacita kerana dianggap layak menanggung aib atas nama Yesus. “Setiap hari… mereka terus-menerus mengajarkan dan mengkhabarkan berita baik” (ayat 42). Semoga Tuhan menolong kita terus mengikuti teladan mereka!