Dalam beberapa hari terakhir hidup ayah saya, salah seorang jururawat datang ke biliknya dan bertanya sama ada dia boleh membantunya untuk bercukur. Semasa jururawat Rachel mencukur wajahnya dengan lembut, dia menjelaskan, “Lelaki warga emas daripada generasinya suka bercukur rapi setiap hari.” Rachel telah melihat suatu keperluan dan bertindak mengikut nalurinya untuk menunjukkan kebaikan, maruah, dan rasa hormat kepada seseorang. Penjagaan lembut yang diberikannya mengingatkan saya tentang rakan saya, Julie. Dia masih mengecat kuku ibunya yang sudah tua kerana ini penting bagi ibunya untuk “kelihatan cantik.”

Kisah Para Rasul 9 memberitahu kita tentang seorang murid bernama Dorkas (juga dikenali sebagai Tabita) yang menunjukkan kebaikan dengan menjahit pakaian untuk orang miskin (ayat 36, 39). Apabila dia meninggal dunia, biliknya dipenuhi oleh rakan-rakan yang meratapi wanita baik ini yang suka membantu orang lain.

Tetapi kisah Dorkas tidak berakhir di situ. Apabila Petrus dibawa ke tempat mayatnya berbaring, dia berlutut dan berdoa. Dalam kuasa Tuhan, Petrus memanggil namanya dengan berkata, “Hai Tabita, bangunlah” (ayat 40). Dorkas membuka matanya secara ajaib dan berdiri! Apabila rakan-rakannya menyedari dia masih hidup, berita itu tersebar dengan cepat ke seluruh bandar dan “ramai orang beriman kepada Tuhan” (ayat 42).

Bagaimanakah Dorkas menghabiskan hari-hari berikut dalam hidupnya? Mungkin melakukan apa yang sama sebelum ini—melihat keperluan orang lain dan memenuhinya.