Jack tahu cara mengarahkan kereta api agar berada di landasan yang betul. Dalam masa 9 tahun, dia tidak pernah tersilap menukar landasan apabila lokomotif (kepala kereta api) menghampiri stesen Uitenhage, Afrika Selatan, dengan bunyi wisel yang menandakan arah tujuan mereka.
Jack ialah seekor babun chacma. Dia dijaga oleh juru isyarat kereta api James Wide, dan Jack pula menjaga James. Wide kehilangan kedua-dua kakinya kerana terjatuh ke dalam gerabak kereta api yang sedang bergerak. Dia melatih Jack untuk membantunya dengan tugas-tugas di sekitar rumahnya dan tidak lama kemudian Jack membantunya di tempat kerja juga. Jack belajar cara bertindak balas kepada isyarat kereta api yang masuk dengan menarik bingkai tuas yang sepadan untuk landasan mereka.
Alkitab menceritakan tentang seekor binatang lain yang membantu seseorang dengan cara yang mengejutkan—keldai Bileam. Bileam adalah seorang nabi pagan yang melayani seorang raja yang berniat untuk mencederakan Israel. Semasa Bileam menunggang keldainya dalam perjalanan untuk membantu raja, “TUHAN membuat keldai itu dapat berkata-kata” kepada Bileam (Bilangan 22:28). Ucapan keldai itu ialah salah satu cara Tuhan membuka “mata Bileam” (ayat 31), memberi amaran tentang bahaya yang akan melanda, dan menghalang dia mencederakan umat-Nya.
Babun yang mengawal kereta api? Keldai yang bercakap? Kenapa tidak? Jika Tuhan boleh menggunakan binatang yang menakjubkan ini untuk tujuan yang baik, tidak mustahil sama sekali bahawa Dia juga boleh memakai anda dan saya. Kita boleh mencapai lebih daripada yang pernah kita fikirkan apabila kita mencari Tuhan dan mendapatkan kekuatan-Nya.