Baru-baru ini saya melihat sekeping gambar arca Musa oleh Michelangelo. Dari pandangan dekat, bonjolan otot yang kecil boleh kelihatan pada lengan kanan Musa. Otot tersebut merupakan otot extensor digiti minimi (otot di lengan bawah), dan penegangan otot ini hanya tampak apabila seseorang mengangkat jari kelengkengnya. Michelangelo, yang dikenali sebagai pakar dalam perincian yang rumit, telah menumpukan perhatian rapi kepada tubuh badan manusia dalam karya arcanya, dengan menambah ciri-ciri peribadi yang selalunya terlepas pandang oleh kebanyakan orang. Michelangelo begitu mengenal tubuh badan manusia berbanding dengan pengarca-pengarca yang lain. Namun begitu, butiran-butiran pada batu arca granit merupakan usahanya untuk menyatakan sesuatu yang lebih mendalam—jiwa, iaitu hidup dalaman manusia. Namun sudah tentunya, arca Michelangelo tetap ada kekurangannya.
Hanya Tuhan yang mengenal realiti lubuk hati manusia. Apa yang kita lihat antara satu sama lain, tidak kira betapa tajam pemahaman dan pemerhatian kita, segalanya hanyalah bayangan kepada kebenaran. Akan tetapi, Tuhan mampu lihat melepasi bayangan tersebut. “Engkau mengenal aku,” kata nabi Yeremia; “Engkau melihat aku” (12:3). Pengetahuan Tuhan tentang kita bukanlah secara teori atau intelektual. Tuhan tidak memerhatikan kita dari jarak jauh. Sebaliknya, Dia mengamati realiti yang tersembunyi tentang diri kita. Tuhan mengenal seluruh hidup kita mahupun bahagian yang terdalam, termasuk segalanya yang kita bergelut untuk memahami.
Tidak kira apa kesukaran yang kita hadapi dan apa yang terpendam di dalam hati kita, Tuhan meneliti kita dan benar-benar mengenal kita.