Pada zaman remaja Raj menerima Yesus sebagai Penyelamatnya, tetapi tidak lama kemudian Raj menyimpang daripada imannya dan menjalani kehidupan yang berjauhan daripada Tuhan. Kemudian pada suatu hari, Raj mengambil keputusan untuk memulihkan hubungannya dengan Tuhan dan kembali ke gereja—namun Raj ditegur oleh seorang wanita yang mencacinya kerana menghilangkan diri bertahun-tahun lamanya. Hal tersebut menambah rasa malu dan bersalah yang dialami oleh Raj atas hidupnya bertahun-tahun sebelum ini yang jauh daripada Tuhan. Adakah aku sudah tiada harapan lagi? Raj tertanya-tanya. Kemudian Raj teringat bagaimana Kristus memulihkan Simon Petrus (Yohanes 21:15-17), walaupun dia telah menyangkal Yesus (Lukas 22:34, 60-61).
Petrus telah menjangka dia akan menghadapi teguran ramai orang, tetapi apa yang diterimanya hanyalah pengampunan dan pemulihan. Malah Yesus langsung tidak menyebut penyangkalan Petrus, tetapi memberi Petrus peluang untuk mengukuhkan kasihnya kepada Kristus dan menjaga pengikut-pengikut-Nya (Yohanes 21:15-17). Maka firman Yesus sebelum Petrus menyangkal-Nya ditunaikan: “Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkan saudara-saudaramu” (Lukas 22:32).
Raj memohon pengampunan dan pemulihan yang sedemikian daripada Tuhan. Pada hari ini Raj bukan sahaja berjalan akrab bersama Yesus, tetapi dia juga melayan di sebuah gereja dan mendorong orang-orang percaya yang lain. Tidak kira betapa jauh kita menyimpang daripada Tuhan, Dia sentiasa sedia bukan sahaja untuk mengampuni kita dan menerima kita kembali, tetapi Dia juga mahu memulihkan kita supaya kita dapat mengasihi, melayan, dan memuliakan-Nya. Kita tidak pernah terlalu jauh daripada Tuhan: Tangan-Nya sentiasa terbuka luas untuk menerima kita dengan penuh kasih sayang.