Saya dan sahabat saya Soozi duduk di atas batu tongkol di tepi pantai sambil menyaksikan buih-buih putih daripada damparan ombak menyebabkan percikan air laut bergulung-gulung melengkung. Ketika melihat ombak terus-menerus menghempas ke batu-batuan, Soozi berkata, “Saya suka lautan. Airnya bergerak berterusan jadi saya tidak perlu bergerak.”
Bukankah menariknya bahawa sesetengah kita menganggap kita perlu mendapatkan “keizinan” untuk berhenti bekerja untuk sementara dan beristirahat? Sebenarnya, itulah yang ditawarkan oleh Tuhan yang maha baik kepada kita! Selama enam hari, Tuhan telah mewujudkan bumi ini, mencipta cahaya, darat, tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan dan manusia. Kemudian pada hari yang ketujuh, Tuhan beristirahat (Kejadian 1:31–2:2). Dalam Sepuluh Hukum, Tuhan menyenaraikan peraturan-Nya untuk kehidupan yang sihat supaya kita dapat memuliakan-Nya (Keluaran 20:3-17), termasuklah perintah untuk mengingati hari Sabat sebagai hari untuk beristirahat (ayat 8-11). Dalam Perjanjian Baru, kita melihat Yesus menyembuhkan semua penduduk kota yang sakit (Markus 1:29-34) dan pada awal keesokan pagi, Yesus beredar ke tempat yang sunyi untuk berdoa (ayat 35). Tuhan kita dengan bersemangat bekerja dan beristirahat.
Pembekalan Tuhan dalam pekerjaan dan jemputan-Nya untuk beristirahat bagaikan irama yang sentiasa bergema di sekeliling kita. Penanaman pada musim bunga akan menghasilkan tanaman yang subur pada musim panas, penuaian pada musim luruh dan istirahat pada musim sejuk. Pagi, tengah hari, petang dan malam silih berganti. Tuhan mengatur kehidupan kita untuk bekerja di samping beristirahat, dan turut mengizinkan kita melakukan kedua-duanya.