Para penyelidik di Fujian, negara Cina ingin menolong para pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk tidur lebih nyenyak. Mereka menilai kesan alat bantu tidur terhadap individu-individu yang diuji kaji dalam simulasi persekitaran ICU yang dilengkapi dengan lampu gred hospital yang terang-benderang, rakaman audio bunyi peralatan hospital dan percakapan para jururawat. Penyelidikan mereka menunjukkan bahawa alat-alat seperti topeng tidur dan penyumbat telinga dapat menambah baik mutu tidur individu-individu yang diuji. Namun mereka mengesahkan, pesakit yang betul-betul sakit di ICU yang sebenar sememangnya sukar sekali untuk tidur nyenyak.
Apabila hidup kita susah payah, bagaimanakah kita dapat menemukan damai sejahtera? Alkitab amat jelas memberi jawapan ini: damai sejahtera ada pada mereka yang mempercayai Tuhan, walau apa jua keadaan mereka. Pada zaman kuno nabi Yesaya telah menulis tentang masa hadapan orang Israel bahawa mereka akan dipulihkan selepas mengharungi kesusahan. Mereka akan tinggal dengan selamatnya di kota mereka, kerana mereka tahu bahawa Tuhan akan menjamin keselamatan mereka (Yesaya 26:1). Mereka akan percaya bahawa Tuhan sentiasa bekerja di dunia sekeliling mereka untuk membawa kebaikan—”Dia menundukkan penduduk tempat tinggi,” membangkitkan mereka yang tertindas dan membawa keadilan (ayat 5-6). Mereka tahu bahawa “TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal” dan mereka boleh percaya kepada Tuhan untuk selama-lamanya (ayat 4).
“Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna” tulis Yesaya “kerana dia percaya kepada-Mu” (ayat 3). Tuhan juga boleh memberikan damai sejahtera dan kelegaan kepada kita pada hari ini. Kita boleh tetap yakin dalam kasih dan kuasa-Nya, walau apa jua yang berlaku di sekeliling kita.