Bluestone merupakan sejenis batuan yang menarik. Batuan Bluestone tertentu boleh menghasilkan bunyi mengikut nada muzik apabila dipalu. Maenclochog, iaitu nama sebuah perkampungan di Welsh, yang juga bermaksud “loceng” atau “batuan berdering” dalam bahasa Welsh, menggunakan batuan Bluestone sebagai loceng gereja sehingga akhir kurun ke-18. Ini ialah suatu fakta yang menarik bahawa runtuhan binaan Stonehenge di England juga diperbuat daripada batuan Bluestone, sehingga ada yang berpendapat tujuan binaan tersebut adalah untuk muzikal. Beberapa orang pengkaji mengatakan bahawa batuan Bluetone tersebut diangkut dari kawasan dekat Maenclochog yang sejauh kira-kira 321 kilometer kerana keunikan bunyi yang dihasilkan.
Batuan yang bersifat muzikal ialah salah satu ciptaan Tuhan yang agung, dan batuan ini mengingatkan kita apa yang dikatakan oleh Yesus ketika Dia memasuki kota Yerusalem pada Hari Ahad Palma. Semasa orang ramai bersorak dan memuji Yesus, para ketua agama meminta Dia menyuruh mereka diam. Akan tetapi Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu bahawa jika mereka diam, batu-batu pula akan bersorak” (Lukas 19:40).
Jika batuan Bluestone boleh membuat irama muzik, dan jika Yesus mengatakan bahkan batu-batu pun boleh bersaksi tentang Pencipta dunia ini, bagaimana pula kita menunjukkan pujian kita sendiri kepada Dia yang mencipta, mengasihi dan menyelamatkan kita? Dia memang layak disembah. Semoga Roh Kudus menggalakkan kita terus memberi penghormatan yang selayaknya diterima oleh Yesus. Segala makhluk akan memuji Dia!