Semasa berlari di dalam hutan, saya cuba mencari jalan pintas dan melalui laluan yang tidak dikenali. Oleh sebab bimbang jika saya sesat, saya bertanya kepada seorang pelari yang datang dari arah lain jika saya berada di laluan yang betul.
“Ya,” jawabnya dengan yakin. Ketika melihat pandangan saya yang ragu-ragu, dia segera berkata: “Jangan risau, saya telah mencuba semua laluan yang salah! Tetapi tidak mengapa, ini memang sebahagian waktu yang akan berlaku dalam larian.”
Ini merupakan gambaran yang tepat tentang perjalanan rohani saya! Berapa banyak kali saya telah menyimpang daripada Tuhan, menyerah kepada godaan dan bingung oleh perkara-perkara kehidupan? Namun setiap kali Tuhan mengampuni saya dan menolong saya maju ke hadapan—walaupun mengetahui bahawa saya pasti akan tersandung lagi. Tuhan tahu kita cenderung pergi ke jalan yang salah, tetapi Dia sentiasa bersedia untuk mengampuni, berkali-kali, jika kita mengaku dosa kita dan membenarkan Roh-Nya mengubah kita.
Paulus juga tahu semua ini adalah sebahagian perjalanan iman. Dia menyedari sepenuhnya tentang kelemahan masa lalunya yang penuh dosa dan kelemahan semasanya, dia juga tahu dia masih belum memperoleh kesempurnaan seperti Kristus yang diinginkannya (Filipi 3:12). “Tetapi satu perkara kulakukan,” tambahnya, “melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, aku terus berusaha…” (ayat 13-14). Kita mungkin tersandung dalam perjalanan iman, namun ini adalah sebahagian perjalanan kita dengan Tuhan: Dia memurnikan kita melalui kesilapan kita. Rahmat-Nya membolehkan kita terus maju, sebagai anak-anak yang diampuni.