Pada musim bunga yang lepas, malam sebelum kami menggemburkan tanah di halaman rumah, satu pukulan angin kencang telah menaburkan benih dari pokok maple kami. Oleh itu, apabila mesin penggembur memecahkan tanah dengan menarik “teras-teras” kecil keluar dari tanah, ia sekali-gus menanam beratus-ratus benih maple di halaman rumah saya. Dua minggu kemudian, hutan pokok maple mula bercambah di halaman rumah saya!
Apabila saya (dengan amat kecewa) memeriksa tumbuhan yang telah tersalah ditanam, saya terpegun betapa banyak kehidupan baru yang telah dihasilkan oleh sebatang pokok. Setiap pokok kecil itu memberikan gambaran tentang diri saya sebagai manusia baru dalam Kristus yang boleh berkongsi dengan orang lain. Setiap kita mempunyai banyak peluang untuk “memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu” (1 Petrus 3:15).”
Apabila kita “menderita kerana melakukan yang benar” atas harapan dalam Yesus (1 Petrus 3:14), orang di sekeliling kita akan melihatnya dan ini mungkin akan membuat mereka berminat untuk mengenali Tuhan. Sekiranya kita sudah bersedia apabila mereka bertanya, maka kita boleh berkongsi tentang benih daripada Tuhan membawa kehidupan baru. Kita tidak perlu berkongsi dengan setiap orang dengan mendadak―seolah-olah ditiup oleh “angin kencang rohani”. Sebaliknya, dengan cara yang lembut dan hormat, kita menanamkan benih iman ke dalam hati mereka yang telah bersedia untuk menerimanya.
Siapakah dalam hidup anda yang berkongsi atau bertanya tentang sebabnya anda mempunyai harapan dalam hidup anda? Apakah yang akan anda kongsikan dengan mereka?
Yesus, terima kasih kerana membolehkan benih iman tumbuh dalam hidupku. Bantu aku berkongsi tentang harapanku—Engkau—kepada mereka yang mencari dan semoga kasih mereka kepada-Mu juga bercambah.
Surat pertama Petrus ditulis terutamanya kepada orang yang percaya kepada Yesus, mereka yang telah tersebar di lima buah daerah Asia Kecil (Turki zaman moden), disebabkan oleh penganiayaan yang dilakukan terhadap gereja di Yerusalem (lihat 1:1-2). Akan tetapi, surat ini jelas ditujukan kepada jemaah campuran orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. Buku ulasan Alkitab,
The Bible Knowledge Commentary menawarkan fahaman ini: “Surat ini dapat difahami sebagai sebuah buku panduan yang ditulis untuk para duta di tanah asing yang bermusuhan. Penulis mengetahui bahawa penganiayaan akan timbul, dan dengan berhati-hati dia memberikan garis panduan tentang tingkah laku yang membawa kemuliaan kepada Dia yang diwakili mereka. Tujuan kitab 1 Petrus pada masa itu adalah untuk menasihati orang percaya yang menghadapi penganiayaan supaya kasih kurnia yang sejati daripada Yesus sebagai kesaksian dalam diri mereka (5:12).” Salah satu tema utama Petrus adalah bahawa ketika orang yang percaya kepada Yesus menderita bagi Dia, mereka harus fokus kepada penderitaan yang kekal dan bukan kepada penderitaan duniawi (3:8-4:19).
Bill Crowder