Menjangkau usia 18 tahun merupakan satu era baru dalam kehidupan anak perempuan saya. Sebagai seorang dewasa dari segi undang-undang, kini dia layak mengundi dalam pilihan raya akan datang dan akan melangkah menghadapi kehidupan selepas tamat sekolah menengah. Perubahan ini menyebabkan saya cemas kerana masa terluang bersama yang semakin singkat untuk saya mengajar dia supaya memiliki bijaksana ketika menghadapi kehidupannya sendiri: bagaimana mengurus kewangan, peka terhadap isu-isu dalam dunia dan membuat keputusan yang bijak.
Rasa tanggungjawab untuk membantu anak perempuan saya menghadapi arus kehidupan berpunca dari perasaan sayang dan keinginan untuk dia terus berjaya. Walaupun saya sedar bahawa saya mempunyai peranan yang penting, itu bukannya tanggungjawab saya semata-mata. Dalam kata-kata Paulus kepada orang Tesalonika, iaitu sekumpulan orang yang dianggap sebagai anak-anak rohaninya kerana Paulus telah mengajar mereka tentang Yesus—Paulus menyeru mereka saling bantu-membantu sesama sendiri (1 Tesalonika 5:14-15), tetapi pada asasnya Paulus menyerahkan pertumbuhan mereka kepada Tuhan. Dia percaya bahawa Tuhan akan “menyucikanmu dengan sempurna dan memelihara roh, jiwa dan jasadmu” (ayat 23).
Paulus percaya bahawa Tuhan akan menyempurnakan apa yang tidak dapat dilakukannya, iaitu memelihara roh, jiwa dan jasad mereka sehingga Yesus Kristus datang kembali (ayat 23). Walaupun surat-suratnya kepada orang Tesalonika mengandungi peraturan, dia percaya bahawa kesejahteraan serta pertumbuhan iman mereka adalah akhirnya terletak di tangan Tuhan (1 Korintus 3:6).