Kami sekeluarga bersama adik-beradik lelaki menghabiskan sehari suntuk untuk memindahkan barang-barang milik ibu bapa kami dari rumah kami semasa kanak-kanak. Lewat petang, kami pergi mengambil barang yang terakhir, mengetahui bahawa ini merupakan kali terakhir kami berada di rumah tersebut, maka kami mengambil peluang untuk mengambil gambar di anjung belakang rumah. Saya cuba menahan air mata apabila ibu berpaling kepada saya dan berkata, “Semuanya telah dikosongkan.” Rumah yang menyimpan memori selama 54 tahun telah kosong sekarang. Saya cuba untuk tidak memikirkannya lagi.
Rasa sedih ini adalah seperti perkataan pertama Yeremia dalam kitab Ratapan: “Betapa sunyinya kota itu, yang dahulu ramai penduduknya!” (1:1). Perbezaan yang penting ialah Yerusalem menjadi kosong “sebab segala pelanggarannya” (ayat 5). Tuhan bertindak membuang umat-Nya ke Babel kerana mereka memberontak terhadap-Nya dan tidak mahu bertaubat (ayat 18). Ibu bapa saya bukan berpindah kerana dosa, sekurang-kurangnya tidak secara langsung. Sejak Adam berdosa di taman Eden, kesihatan setiap orang telah merosot sepanjang hayat mereka. Apabila usia semakin meningkat, ini amat biasa bagi kita untuk berpindah ke rumah yang lebih kecil dan mudah diurus.
Saya bersyukur atas kenangan yang menjadikan rumah sederhana kami istimewa. Kesedihan selalu disertakan dalam harga kasih. Saya tahu bahawa perpisahan seterusnya bukan dengan rumah ibu bapa saya, tetapi dengan ibu bapa saya sendiri. Saya menangis. Saya berseru agar Yesus akan kembali, mengakhiri perpisahan, dan memulihkan segalanya. Saya memiliki harapan dalam Tuhan.