Semasa kami sekeluarga berada dalam kuarantin akibat pandemik global, kami bercita-cita untuk memulakan satu projek—menyusun suai 18 ribu kepingan gambar! (jigsaw puzzle). Walaupun kami berusaha hampir setiap hari, tidak banyak kemajuan yang kami capai. Selepas 5 bulan, akhirnya kami berjaya meletakkan kepingan gambar yang terakhir. Hasilnya, karya yang berukuran 274 cm x 183 cm ini telah melingkungi keseluruhan lantai ruang makan kami.
Kadangkala saya merasakan hidup saya umpama suatu susun suai gambar yang besar—banyak kepingan telah dicantumkan tetapi masih banyak yang berselerak di atas lantai. Walaupun saya tahu bahawa Tuhan sedang bekerja untuk mengubah saya menjadi lebih seperti Yesus, kadangkala sukar untuk melihat kemajuannya.
Saya dihiburkan disebabkan kata-kata Paulus dalam suratnya kepada jemaah di Filipi, apabila dia mengatakan bahawa dia berdoa untuk mereka dengan sukacita kerana pekerjaan baik yang dilakukan mereka (1:3-4). Tetapi keyakinannya bukan berdasarkan kebolehan mereka, tetapi pada Tuhan “Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik … akan menyudahkannya” (ayat 6).
Tuhan telah berjanji untuk menyelesaikan pekerjaan-Nya dalam diri kita. Seperti susun suai gambar, mungkin ada bahagian yang masih memerlukan perhatian kita, dan ada masanya kita seperti tiada sebarang kemajuan. Tetapi kita boleh yakin bahawa Tuhan kita yang setia masih mencantumkan kepingan-kepingan tersebut dalam kehidupan kita.