Selepas saja pelayanan pagi Ahad, tuan rumah saya di Moscow membawa saya makan tengah hari di sebuah restoran di luar Kremlin. Setibanya di tempat itu, kami melihat satu barisan pasangan yang baru berkahwin dan masih berpakaian pengantin sedang menghampiri Makam Tentera Tidak Dikenali di luar tembok Kremlin. Kegembiraan pada hari perkahwinan mereka melibatkan memperingati pengorbanan oleh para askar yang membolehkan mereka meraikan hari perkahwinan yang bahagia. Ini merupakan satu pandangan yang penuh penghormatan semasa melihat para pasangan bergambar di tugu peringatan sebelum meletakkan bunga perkahwinan di sana.
Setiap kita mempunyai alasan untuk berterima kasih kepada mereka yang telah berkorban agar kehidupan kita lebih bermakna. Tiada pengorbanan yang tidak bernilai, tetapi pengorbanan itu juga bukanlah yang paling bernilai. Hanya pada kayu salib kita melihat betapa tingginya nilai pengorbanan Yesus untuk kita dan kita mula memahami betapa kita terhutang kepada-Nya sebagai Juruselamat hidup kita.
Ketika kita datang mengambil Perjamuan di Meja Tuhan, ini mengingatkan kita tentang pengorbanan Yesus—digambarkan dengan roti dan cawan. Paulus menulis, “Setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Tuhan hingga kedatangan-Nya” (1 Korintus 11:26). Semoga setiap kali kita mengambil bahagian di meja-Nya, kita akan diingatkan untuk hidup setiap hari dengan kesyukuran atas semua yang telah dilakukan oleh Yesus dalam diri kita dan untuk kita.