Pada akhir sesi ibadah di gereja, pastor menjemput Latriece berjalan ke hadapan. Ketika dia dipelawa untuk berucap di hadapan jemaah, tiada siapa menjangka dia akan berkongsi kesaksian yang berkuasa dan indah ini. Dia telah berpindah dari Kentucky apabila puting beliung yang dahsyat telah meragut nyawa tujuh orang ahli keluarganya pada bulan Disember 2021. “Saya masih mampu tersenyum kerana Tuhan bersama dengan saya,” katanya. Meskipun dipukul oleh cubaan, kesaksiannya menjadi dorongan yang sangat berkuasa bagi orang yang sedang menghadapi cabaran.
Kata-kata Daud dalam Mazmur 22 (yang menunjukkan penderitaan Yesus) ialah penderitaan seorang lelaki yang dipukul dan berasa ditinggalkan Tuhan (ayat 1), dihina dan diejek oleh orang lain (ayat 6-8), dan dikelilingi oleh pemangsa (ayat 12-13). Dia berasa lemah dan kering-kontang (ayat 14-18)—tetapi dia tidak berasa tiada harapan. “Tetapi Engkau, ya Tuhan, janganlah jauh daripadaku; ya Tuhan kekuatanku, segeralah datang menolongku” (ayat 19). Cabaran anda pada ketika ini—meskipun tidak seperti cabaran yang dialami Daud atau Latriece—adalah sama nyatanya. Kata-kata ayat 24 adalah amat bermakna: “Kerana Dia tidak menghina atau menjijikkan derita orang yang menderita ; … Apabila dia berseru kepada-Nya, Dia mendengar.” Apabila kita mengalami pertolongan Tuhan, marilah kita mengisytiharkan kebaikan-Nya supaya orang lain boleh mendengarnya (ayat 22).