Keadaannya tidak mungkin akan lebih teruk lagi. Selepas memperoleh kekayaan daripada pembinaan jambatan, monumen dan bangunan besar, Cesar mempunyai aspirasi untuk memulakan rancangan baru. Jadi dia menjual perniagaan pertamanya dan menyimpan wang itu, merancang untuk melabur semula tidak lama lagi. Namun dalam tempoh yang singkat itu, pihak pemerintah di negaranya merampas semua aset yang disimpan dalam akaun bank swasta. Dalam sekelip mata, semua simpanan hidup Cesar hilang.
Cesar tidak merungut kepada Tuhan kerana ketidakadilan yang dihadapinya, sebaliknya dia memohon kepada Tuhan untuk menunjukkan jalan seterusnya. Kemudian—dia memulakan kembali semuanya.
Dalam satu saat yang amat mengerikan, Ayub mengalami kehilangan yang jauh lebih besar daripada sekadar harta miliknya. Dia kehilangan para hambanya dan semua anaknya (Ayub 1:13-22). Kemudian dia kehilangan kekayaannya (2:7-8). Tindak balas Ayub kekal sebagai contoh abadi bagi kita. Dia berdoa, “Dengan telanjang aku keluar daripada kandungan ibuku, dan dengan telanjang juga aku akan pergi. Tuhan yang memberikan; Tuhan yang mengambil, segala puji bagi nama Tuhan!” (1:21). Fasal itu diakhiri dengan, “Dalam semua hal ini Ayub tidak berdosa atau menuduh Allah berbuat salah” (ayat 22).
Seperti Ayub, Cesar memilih untuk mempercayai Tuhan. Dalam hanya beberapa tahun, dia telah membina sebuah perniagaan yang lebih berjaya berbanding kerjaya sebelumnya. Kisahnya serupa dengan pengakhiran kisah Ayub (lihat Ayub 42). Namun, jika kerjaya Cesar masih tidak pulih sepenuhnya, dia tahu hartanya yang sesungguhnya bukan di dunia ini (Matius 6:19-20). Dia akan tetap mempercayai Tuhan.