Mungkin saya tidak sepatutnya bersetuju untuk menyertai Brian dalam sebuah larian. Masa itusaya berada di sebuah negara asing, dan saya tidak tahu apa-apa tentang ke mana dan berapa jauh kami akan pergi, atau bagaimana keadaan bentuk muka bumi yang akan dilintasi. Tambahan pula, dia merupakan seorang pelari yang laju. Adakah kaki saya akan terseliuh untuk mengejarnya? Apakah yang boleh saya lakukan selain mempercayai Brian kerana dia tahu jalannya? Ketika kami hendak bermula, saya menjadi semakin takut. Laluan tersebut amat berbahaya kerana kami harus melalui jalan yang berliku-liku ke hutan tebal di atas tanah yang tidak rata. Tetapi saya bersyukur kerana Brian sering menoleh ke arah saya untuk memeriksa keadaan saya dan memberi amaran tentang kawasan tompok kasar di hadapan.
Mungkin inilah perasaan beberapa orang pada zaman Alkitab semasa mereka memasuki tempat yang tidak dikenali—Abraham di Kanaan, orang Israel di padang gurun, dan para pengikut Yesus dalam misi mereka untuk mengkhabarkan berita baik. Mereka tidak tahu perjalanan di hadapan mereka selain mengetahui bahawa ia pasti sukar. Tetapi mereka memiliki Peribadi yang memimpin mereka, Dia yang tahu jalan ke hadapan. Mereka harus percaya bahawa Tuhan akan memberi mereka kekuatan dan Dia akan menjaga mereka. Mereka harus mengikut Dia kerana Dia tahu apa yang akan berlaku di hadapan.
Keyakinan ini memberikan ketenangan kepada Daud ketika dia menjadi pelarian. Meskipun berada dalam ketidakpastian, dia berkata kepada Tuhan: “Apabila rohku tertekan di dalamku, ketika itu Engkau tahu jalanku” (Mazmur 142:3). Akan ada masa dalam kehidupan ini, kita menjadi takut terhadap perkara yang bakal berlaku pada masa hadapan. Tetapi satu hal yang kita tahu: Tuhan kita, yang bersama dengan kita, mengetahui jalan di hadapan.