Hollywood sering mempersembahkan seorang pengintip ialah seseorang yang tampan, memandu kereta mewah seperti Aston-Martins dan kereta-kereta lumba mewah yang lain. Akan tetapi, Jonna Mendez, bekas ketua CIA, memberikan gambaran yang bertentangan tentang perkara sebenar. Seorang ejen mestilah “lelaki yang tidak menyerlah,” katanya, dia haruslah seseorang yang tidak menarik dan tidak menunjuk-nunjuk. “Anda mahu mereka mudah dilupakan.” Ejen terbaik ialah mereka yang paling tidak kelihatan menyerupai ejen.
Apabila dua orang pengintip Israel menyelinap ke Yerikho, Rahab yang menyembunyikan mereka daripada askar raja (YOSUA 2:4). Dia kelihatan seorang yang paling tidak mungkin dipakai oleh Tuhan sebagai pengintip, kerana tiga faktor tentang dirinya: dia seorang Kanaan, seorang perempuan dan seorang pelacur. Bagaimanapun, Rahab telah mula percaya kepada Tuhan orang Israel: “TUHAN, Allahmu, ialah Allah di langit di atas ”(AYAT 11). Dia menyembunyikan pengintip Tuhan di antara rami yang disusunnya di atas atap rumah dan membantu mereka melarikan diri. Tuhan memberi ganjaran kerana imannya: “Rahab, pelacur itu, dengan kaum keluarganya dan semua orang yang ada bersama-samanya dibiarkan hidup oleh Yosua” (6:25).
Kadang-kadang kita merasakan diri kita paling tidak mungkin akan dipakai oleh Tuhan. Mungkin kita mempunyai keterbatasan fizikal, tidak berasa cukup “menyerlah” untuk menjadi pemimpin, atau mempunyai sejarah hitam. Akan tetapi, sejarah dipenuhi dengan orang percaya yang “tidak menonjol”, orang yang ditebus oleh Tuhan seperti Rahab yang diberi misi istimewa untuk kerajaan-Nya. Yakinlah: Tuhan mempunyai tujuan bagi kita biarpun orang yang kelihatan paling tidak mungkin dipakai-Nya.