Sebuah pasukan penyelidik antarabangsa telah berjaya mencipta sebuah dron bersayap yang meniru reka bentuk seekor burung layang-layang. Burung layang-layang berkemampuan untuk terbang selaju 144 km sejam dan berkeupayaan untuk berlegar, menjunam, berpusing dengan cepat, dan berhenti secara tiba-tiba. Namun dron ornitopter (mesin yang direka untuk mencapai penerbangan dengan cara mengepakkan sayap) tidak setanding dengan burung tersebut. Seorang penyelidik mengatakan burung “mempunyai beberapa set otot yang membolehkannya terbang dengan sangat pantas, melipatkan sayapnya, berputar, membuka celah bulunya dan menjimatkan tenaga.” Dia mengaku bahawa usaha pasukannya hanya mampu meniru kira-kira “10 peratus daripada penerbangan biologi.”

Tuhan telah mengurniakan makhluk-makhluk di dunia ini dengan pelbagai jenis keupayaan yang menakjubkan. Memerhati dan merenung keupayaan makhluk-makhluk tersebut boleh menjadi sumber kebijaksanaan bagi kita. Semut mengajar kita tentang cara mengumpulkan sumber, mamalia darat seperti hiraks batu menunjukkan kita kepentingan tempat perlindungan yang kukuh, dan belalang mengajar kita tentang kekuatan dalam jumlah yang besar (Amsal 30:25-27).

Alkitab memberitahu kita bahawa “[Tuhan] menegakkan dunia dengan kebijaksanaan-Nya” (Yeremia 10:12), dan pada penghujung setiap langkah dalam proses penciptaan-Nya, Dia telah mengesahkan bahawa segala yang telah dilakukan-Nya adalah “baik” (KEJADIAN 1:4, 10, 12, 18, 21, 25, 31). Tuhan yang mencipta burung untuk “berterbangan di ruang cakerawala di atas bumi” (KEJADIAN 1:20), telah memberi kita keupayaan untuk menggabungkan hikmat-Nya dengan daya berfikir kita sendiri. Pada hari ini, fikirkan bagaimana anda boleh pelajar daripada reka bentuk-Nya yang anggun di dunia semula jadi ini.