Bapa saya menggemari aktiviti di luar rumah sambil menikmati ciptaan Tuhan, seperti berkhemah, memancing, dan mengumpul pelbagai jenis batu. Dia juga gemar bekerja di halaman rumah dan taman. Namun ini melibatkan usaha yang gigih! Dia telah menghabiskan masa berjam-jam untuk mencantas, mencangkul, menanam benih dan bunga, mencabut lalang, memotong rumput, serta menyiram halaman rumah dan taman. Hasilnya memang berbaloi—sebuah halaman rumput landskap, tomato yang lazat, dan bunga-bunga mawar yang cantik. Setiap tahun dia memangkas bunga-bunga mawar tersebut, dan setiap tahun bunga-bunga mawar tersebut akan tumbuh kembali—memenuhi persekitaran dengan haruman dan kecantikannya.
Dalam kitab Kejadian, kita membaca tentang taman Eden, iaitu tempat tinggal Adam dan Hawa, menjalani kehidupan mereka, dan berjalan bersama dengan Tuhan. Di dalam Taman Eden, Tuhan telah “menumbuhkan setiap jenis pokok. Ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya” (KEJADIAN 2:9). Saya membayangkan taman yang sempurna itu juga mempunyai bunga-bunga yang cantik dan berbau harum—malah ada bunga mawar yang tidak berduri!
Selepas Adam dan Hawa melanggar perintah Tuhan, mereka telah diusir dari taman tersebut dan harus menanam serta menjaga tanaman mereka sendiri. Mereka perlu mencangkul tanah yang keras, bertarung dengan duri dan pelbagai cabaran lain (KEJADIAN 3:17-19, 23-24). Namun Tuhan terus membekali mereka (KEJADIAN 3:21), malah menggunakan ciptaan-Nya yang indah untuk menarik kita kepada-Nya (ROMA 1:20). Bunga-bunga yang terdapat dalam taman tersebut merupakan lambang harapan dan kedamaian, mengingatkan kita tentang kasih dan janji Tuhan yang berterusan, dan janji-Nya yang membawa pembaharuan!