Peraturan restoran di kawasan kejiranan zaman kanak-kanak saya amat dipengaruhi oleh suasana masyarakat dan perkauman pada akhir tahun 1950-an dan awal tahun 1960-an. Pembantu dapur—Mary, tukang masak dan pencuci pinggan seperti saya—adalah orang berkulit hitam atau berketurunan Afrika, tetapi kebanyakan pelanggan restoran kami adalah berkulit putih. Pelanggan berkulit hitam boleh memesan makanan, tetapi mereka harus mengambil makanan di pintu belakang. Polisi sebegini membuktikan lagi layanan tidak sama rata terhadap orang berkulit hitam pada zaman tersebut. Walaupun masyarakat kita telah mencapai perkembangan sejak itu, kita masih mempunyai ruang untuk maju dalam cara kita berhubung antara satu sama lain sebagai manusia yang dicipta mengikut imej Tuhan.

Ayat-ayat Alkitab seperti Roma 10:8-13 membantu kita menyedari bahawa semua orang adalah diterima dalam keluarga Tuhan; tiada pintu belakang. Semua orang masuk dengan cara yang sama—dengan percaya bahawa pengorbanan Yesus membawa penyucian dan pengampunan. Alkitab menghuraikan perubahan hidup ini sebagai “diselamatkan” (ROMA 10:9, 13). Keadaan sosial dan status kaum anda atau orang lain tidak dapat menentukan keselamatan anda. “Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.’ Kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani, kerana Tuhan yang sama berkuasa atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang berseru kepada-Nya” (ROMA 10:11-12). Adakah anda percaya dalam hati anda akan mesej Alkitab tentang Yesus? Selamat datang ke dalam keluarga ini!